Coretan Seorang Hamba



Di dalam sujudku
Kau dengar tangisanku
Di dalam doaku
Kau dengar rintihku
Sepanjang hayatku
Kau lihat segala perbuatanku

Setiap perbuatanku
Kau catat segala dosa pahalaku

Di dalam khayalku
Kau datang mengingatiku
Di dalam kegagalanku
Kau datang memberi pertolongan-Mu
Di dalam kesedihanku
Ayat-Mu melantun ke halwa telingaku
Meleraikan lara jiwaku
Di dalam usahaku
Kau beri kejayaan-Mu
Di dalam kegembiraanku
Kau kurniakan nilai tawa padaku
Di dalam buntuku
Kau datang memberi Hidayah-Mu

Jika aku bukan Islam
Pasti tiada coretan ini di dalam hidupku
Kerana nikmat seorang Islam amat sukar dicoretkan oleh seorang kafir

Aku tadah tanganku
Ku bersyukur pada-Mu Ya Allah,

Hindarilah aku dari terpesong dari jalan-Mu

Kerana Kau Yang Maha Mengetahui
Kau lah sebaik-baik perancang
Maka tetapkanlah yang sebaik-baiknya buatku
Supaya dapat ku teruskan hayatku dengan penuh ketakwaan pada-Mu

Untukmu Teman



Untukmu yang bernama teman,
Ingin aku hadiahkan sebaik-baik kalungan,
Seindah-seindah anyaman,
Dari seharum-harum bunga,
Kerana hati yang terpahat ini,
Saban hari semakin menyayangi,
Nilaian yang sama-sama kita kecapi,
Kenangan yang tak sudah-sudah kita lakari,
Kerana aku perantau,
Yang kerap menapak dan menjajah,
Walau dalam makna yang sementara,
Walau secebis semangat didada.
Contohku adalah kamu,
Kerana tamsilanmu adalah Rasulku,
Manusia agung karya Ilahi,
Pembimbing umat ke jalan abadi

Aku ingin melihat,
Rencana yang sama-sama kita bentangkan,
Bersemadi dalam hati-hati manusia,
Bersemi dalam peradaban ummah,
Tidak akan pernah cukup,
Apa yang kita lemparkan,
Kerna apa yang bakal dituntut,
Itulah yang kita khuatirkan.
Teman Bangkitkan kembali nostalgia itu,
Bersama ukhwah kita adun kembali,
Demi saat yang bakal kita miliki.
Teman,
Jangan mudah kita menafsir,
Mimpi indah kini,
Yang bukan untuk dirai,
Tetapi lihatlah ia,
Sebagai penterjemah diri,
Dikala kita beruzlah sunyi
Menghadap Ilahi.

Menjadi Pemimpin Yang "Menjadi"


Konflik dalam kalangan pemimpin merupakan perkara biasa, bukan sahaja di Malaysia , malah di banyak negara dan empayar sepanjang zaman. Namun, cara dan suasana konflik tersebut diselesaikan adalah yang lazimnya menarik perhatian.

Cara dan suasana konflik juga berbeza diantara satu sama lain. Agak mengecewakan apabila konflik sebegini biasanya berjaya diselesaikan dengan lebih baik dalam kalangan pemimpin bukan Islam berbanding pemimpin Islam itu sendiri. Walhal, panduan dari AlQuran dan Hadis sudah berada di tangan mereka untuk bertindak sebagai pemimpin yang benar-benar ‘menjadi’.

Sebenarnya terdapat beberapa item yang memungkinkan pemimpin itu untuk benar-benar ‘menjadi’ dan orang yang dipimpin menerima nikmat kepemimpinan. Bukan hanya terpimpin dengan selamat di dunia, malah juga di akhirat nanti. Sepertimana pesan seorang guru kepada anak muridnya ; ["Pemimpin yang baik,mampu menjadikan orang yang dipimpinnya sebagus atau lebih bagus dari ia"]

Item pertama pemimpin ialah iman.


Secara ringkas, iman itu ada tiga implikasi, iaitu ‘imun’, ‘aman’ dan ‘amin’.

Imun maknanya kebal daripada maksiat serta kebal daripada sogokan dan pujukan.

Aman maknanya dia berasa aman bila bersama Allah, malah di depan orang dia baik, di belakang orang pun dia tetap baik.

Amin pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah dipercayai barulah layak menerima amanah.

Item kedua ialah ilmu kepemimpinan.

Kepemimpinan bukannya secara spontan atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu. Apabila kepemimpinan itu ialah cara menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi pengikut mencapai matlamat yang digarap, maka, jika tidak ada ilmu berkaitan kepemimpinan, nanti kita pula yang dipimpin oleh mereka.

Item ketiga ialah ’kepimpinan diri’.

Bagaimana kita boleh memimpin orang lain kalau diri kita tidak terpimpin? Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud ; [“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin”].

Hal ini termasuklah dalam hal memimpin diri sendiri. Maknanya, pemimpin tidak cepat melemparkan tanggungjawabnya kepada orang lain, tidak cepat terpengaruh dengan khabar yang tidak pasti. Jika dia melakukan kesilapan, diri sendiri menanggung risiko, bukan menyalahkan orang lain demi keselamatan diri.

Item keempat ialah ‘kemahiran komunikasi’.

Kerenah orang-orang yang dipimpin mampu ditangani dengan kemahiran komunikasi yang ada. Antaranya ialah, bercakap dengan terang jelas dan nyata serta mudah difahami oleh mereka. Seterusnya, setiap pemimpin perlu berusaha menjadikan dirinya mudah untuk didampingi, tidak ada tembok pemisah atau terlalu protokol.

Pemimpin juga perlu ikhlas kerana walaupun ikhlas adalah perkara abstrak namun, ia boleh dirasai dengan mata hati. Tindakan juga merupakan suatu cara komunikasi yang efektif berbanding banyak berkata-kata.

Allah memberikan kita dua telinga supaya kita banyak mendengar, Allah memberikan kita dua mata supaya kita banyak melihat dan mengamatinya, kemudian bertindak berasaskan pendengaran dan pemerhatian.

Item-item lain bagi seorang pemimpin yang benar-benar ‘menjadi’ juga ialah apabila sekiranya di sekelilingnya terdapat perkara menyalahi kebenaran, dengan kuasanya dia akan meluruskannya.

Selain itu, mereka juga sentiasa membesarkan Allah dalam setiap hal, memastikan hati dan penampilan luaran sentiasa bersih, serta lebih banyak memberi dengan ikhlas berbanding memberi kerana ingin mendapat lebih banyak. Insha-Allah dengan item-item ini, walau apa-apa sahaja konflik yang melanda kelak, pasti akan mampu diselesaikan dengan lebih baik oleh mana-mana pemimpin Islam. Wallahu’alam.

PEMERGIANMU




Ya Rasulullah..
Geringmu membawa petanda,
kau kan pergi menghadap Yang Esa
Disisi Humaira’ isteri tercinta
Dikelilingi sahabat juga saudara

Sebelum pergi kau bisik padanya
Membuat puterimu tersenyum gembira
Kau menunggu kedatangannya
“di akhirat sana kita berjumpa”

Setelah kau pergi sunyilah kota
Hiba Umar tidak terkata
Akan dipenggal semua kepala
Andai dikhabarkan kau telah tiada
Namun imannya kukuh sentiasa
Direlakan juga walau terpaksa

Bilal pergi keluar kota
Kerana pilu tidak terhingga
Setelah lama kau bersemadi
Kota sunyi tidak berpenghuni
Tiada kau sebagai penyeri
Suka dan tawa tidak didengari

Mimpi Bilal kau datangi
“adakah aku tidak kau sayangi??
Wahai Bilal,ziarahlah ku disini
Rindu padamu tidak terperi”
Menangislah Bilal bangun dari lena
Tidak disangka baginda menunggunya
Segera berkemas pulang ke kota
Berlarilah unta meredah benua

Di saat tiba di dalam kota
Di makam Baginda terduduk hiba
Air mata menitis jua
“betapa ku rindu pada Baginda!”

Dengan semangat dan azam baru
Gunung kau daki tanpa ragu
Azan dilaung memuji Yang Satu
Suara merdu memecah di kalbu
Menangislah seluruh penduduk kota
Azan mengimbau kenangan bersamanya
Tidak didengar sekian lama
Kini bergemanya menusuk di jiwa

Beramai-ramai menjalankan kewajipan
Wajah Baginda bermain difikiran
Alangkah rindunya tanpa sempadan
Namun hidup perlu diteruskan….

Nur Kasih, Mencari Diri




“Cikgu, jangan buat BBQ hari Jumaat malam. Kami nak tengok Nur Kasih....”, emak mengajuk kata-kata anak muridnya. Pelajar darjah enam.

Tergelak kami mendengarkannya. Namun, hati terdetik, apakah agaknya yang dipelajari oleh anak-anak berusia 12 tahun?

Tidak dinafikan Nur Kasih mempunyai aura tersendiri dalam masyarakat. Saya sendiri jatuh cinta. Cinematography yang mempesona! MasyaAllah.

Tatkala Facebook dihujani kuiz-kuiz untuk melihat apakah watak Nur Kasih yang sesuai dengan diri, apakah kita benar-benar `melihat` mesej untuk dihayati?

Perihal Anak Muda

”Kalau saya jadi Sarah, saya pun akan jadi seperti itu”, komen adik di sebelah.

Saya kurang memahami. ”Seperti yang bagaimana?”.

”Lihatlah cara ibu bapa mereka melayan Sarah dan kakaknya. Jauh berbeza”, komen yang lahir dari hati seorang anak muda.

”Ye tak ye juga”, hati kecil saya mengakui.

Jika saya membuat bancian, pasti ramai yang amat tidak menyukai watak Sarah. Tidak terkecuali watak Adam di awal cerita. Geram, marah, benci! Jauh berbeza dengan watak Aidil dan Nur Amina.

Ironinya, Sarah dan Adam dibesarkan dalam sebuah keluarga berpendidikan agama. Namun, seperti lirik lagu, iman tidak dapat diwarisi.

Terdapat beberapa persamaan antara watak Adam dan Sarah yang berperang dengan jiwa muda. Sifat terburu-buru, tidak sabar. Sifat melawan, tidak mahu mendengar kata. Sekalipun ibu bapa telah berusaha dan berdoa, sikap mereka tidak bertukar.


Paradigma Uda dan Dara

”Adam jahat! Adam anak setan!”, kata-kata Adam sewaktu kecil yang menempah tamparan daripada Mak Jah.

Begitulah paradigma yang terbentuk dalam diri Adam. Dia seorang yang jahat. Lebih-lebih lagi apabila Ustaz dan Mak Jah mendidik Adam dengan kekerasan. Mereka sendiri mengakuinya tatkala berbicara di kamar tidur.

”Mungkin cara didikan kita pada Adam silap. Selalu sangat dipukul. Jadi bebal anak tu”, luah Mak Jah, naluri seorang ibu berbicara.

Sekalipun Adam kelihatan `jahat`, masih terselit ketaatannya pada ibu bapa.

Ketika Ustaz sakit, Adam tetap pulang selepas dipujuk Aidil. Selain itu, niat Adam untuk pulang segera ke Australia dibatalkan apabila Ustaz jatuh sakit sekali lagi. Babak di kampung diakhiri dengan Adam mengikut kehendak bapanya, berkahwin dengan Nur (kisah dia mengabaikan Nur satu perkara lain).

Berbeza dengan watak Sarah. Salah satu paradigma Sarah ialah mabuk bercinta tidak berbalas. Cinta buta. Selepas berusaha sedaya upaya mendapatkan cinta, barulah Sarah tersedar, ”Buruk sangat ke Sarah mak?”, tanya Sarah pada diri sendiri sebenarnya. Pertanyaan ketika di episod akhir.

Kata orang, hendak dijadikan cerita. Kata saya, lihatlah, penulis tidak menjadikan cerita sia-sia!

Menganjak Paradigma

Bayangkan watak Adam dan Sarah, paradigma mereka telah terbentuk hampir 20 tahun. Maka, untuk mengubah paradigma mereka ke arah yang positif, tentunya mengambil masa yang lama. Paradigma tidak berubah sekelip mata. Dengan izin Allah jua.

Paradigma seseorang terbentuk sejak lahir. Banyak faktor yang mempengaruhi lalu membentuk persepsi. Ibu bapa, kawan-kawan, persekitaran dan media antara faktor yang menyumbang.

Menariknya, anjakan paradigma Adam dan Sarah bermula dengan ujian. Ujian terus dari Allah swt. Adam kehilangan anak sulungnya bersama Katrina. Kemudiannya Adam dipenjara. Sarah pula ditimpa kemalangan merempuh cermin.

Hidayah itu datang dengan pelbagai cara. Terpulang kepada individu melihatnya dengan mata hati. Hidayah melalui pencarian. Hidayah melalui ujian!


Pencarian Diri Bermula



Ujian yang menimpa Adam dan Sarah merupakan faktor luaran, sesuai sebagai permulaan untuk menganjak paradigma. Namun, tidak menjamin usaha untuk terus mengubah diri ke arah kebaikan. Jelas mesejnya bahawa untuk berubah, bergantung kepada individu. Adam dan Sarah perlu mencari selepas mereka di uji!

Pencarian diri Adam diceritakan dengan panjang lebar berbanding Sarah yang `insaf` dihujung cerita.

Secara umumnya, pencarian Adam mengenal diri dan Islam perlu dimulakan dengan diri sendiri walau penuh rintangan. Usaha dimulakan sedikit demi sedikit, syaratnya istiqamah.

Adam memulakan pencarian tanpa bantuan abangnya Aidil. Bahkan, Adam menyedari, dia bertanggungjawab untuk mendidik Katrina, dirinya perlu berubah dahulu. Selain rintangan dari dalam diri, Adam perlu berhadapan dengan Katrina yang terkejut dengan perubahannya. Begitulah pencarian Adam bermula. Sunnah orang berjuang. Berjuang menentang diri sendiri. Berjuang menempuh rintangan.

Namun, Adam berusaha sedikit demi sedikit. Asalkan istiqamah. Sekali-sekala Adam terbabas. Katrina menjadi mangsa `kekasarannya`. Namapun terbabas, segalanya pulih bahkan bertambah baik apabila Adam menyedari kelemahannya. Kembali ke atas track sebenar.

Membentuk Diri

Setelah beberapa ketika mencari diri dan dalam masa yang sama cuba mengubahnya, sampailah ke satu tahap, Adam mampu untuk membetulkan kesilapan lamanya. Kesilapannya terhadap Nur Amina. Kesilapan terhadap ibu, ayah serta abangnya.

Tanpa ujian sebagai permulaan, tanpa pencarian diri dan Islam, sukar buat Adam untuk menjatuhkan ego sendiri bagi membentuk diri ke arah yang lebih baik. Malah, membaiki kesilapan lalu. Sukar.

Perubahan diri Adam berperingkat-peringkat. Adam tidak menjadi anak serta suami yang soleh sekelip mata. Bergantung kepada masa. Bergantung kepada izin Allah jua. Namun, Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya. Bahkan Allah lah yang paling dekat tatkala hambaNya memohon padaNya. Cuma, hamba ini yang alpa berusaha. Astaghfirullah!

Walaupun pada awalnya kaki Adam tersangkut untuk melangkah bersama ayah dan abangnya ke syurga, dia kemudiannya berusaha. Lalu Allah redha mengizinkan.

Sarah pula menjatuhkan egonya apabila benar-benar redha untuk melepaskan Aidil. Aidil yang cukup bertakhta di hatinya sehinggakan lupa bahawa pemilik mutlak hati seorang hamba adalah tuannya, Allah swt.

”Kak Nur kahwinlah dengan abang Aidil, Sarah tak kesah”, jelas keikhlasan diwajah Sarah dihujung cerita. Berbeza dengan dirinya yang bermuka-muka pada awalnya. Tanpa dinafikan, yang Maha Mengetahui ikhlas hanyalah Allah swt.

Berapa peratuskah `Sarah` dalam diri kita?

Aplikasi Buat Anak Muda


Mungkin kita tidak dilahirkan dalam keluarga ustaz mahupun imam seperti Adam dan Sarah. Namun, jangan kita lupa. Syarat untuk berubah adalah diri sendiri!

Apabila balighnya anak Adam itu, maka mereka mampu berfikir. Mampu untuk membezakan mana yang baik dan buruk. Mampu untuk mencari diri dan Islam.

Buangkan tabiat menyalahkan ibu bapa, menuding jadi pada persekitaran dan media. Kita punya kuasa dan kawalan terhadap diri masing-masing. Berperanglah dengan diri sendiri untuk berubah. Berjuanglah walaupun sukar kerana kesukaran itulah sunnah.

Apabila wujud kemahuan untuk berubah, jangan mudah menyerah kalah. Membina diri ibarat membina bangunan. Andai tergopoh-gapah dan menggunakan short-cut, alamatnya robohlah. Tidak bertahan lama!

Sama-sama kita bersabar, jiwa muda. Selepas membina, cabaran untuk mempertahankannya pula. Mempertahankan iman dan Islam sehinggalah kita mati kelak.

Setiap Manusia Punya Kebaikan

”Sejahat mana pun seorang manusia, dirinya masih punya kebaikan”, tazkirah ayah pada suatu petang.

”Masih ingat cerita seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang? Apabila bertanya kepada seorang ulama`, bagaimanakah dirinya hendak bertaubat. Ulama` itu menjawab, lelaki itu tiada harapan, hanya layak ke neraka.”

”Maka beranglah lelaki tadi lalu dibunuhnya ulama` itu, mencukupkan 100 orang. Kemudian, lelaki itu berjumpa ulama` yang kedua. Soalan yang sama diajukan. Jawapan berbeza diberikan.”

”Kamu masih punya harapan untuk bertaubat kerana Allah itu Maha Pengasih lagi Penyayang. Taubat nasuha”, begitulah berbezanya jawapan ulama` kedua. Jawapan penuh dengan kasih sayang. Dengan izin Allah jua Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Lihatlah manusia dengan kasih sayang. Kata orang, ”Hate the sin, not the sinner”.

Samada melihat orang disekeliling kita, mahupun kita melihat diri sendiri. Seburuk manapun, setiap diri punya kebaikan di dalam hati. Yakinlah.

Ujian datang dan pergi. Mata hati yang celik membuatkan diri mencari. Akhirnya membentuk diri. Sebelum pulang menuju ilahi.

Syaratnya diri sendiri!

Darihal Puasa, Iman dan Taqwa



Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat.

Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.

Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah
Ali Imran ayat 43. "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk."

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam..

Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s.

Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.

Puasa, lambang amalan agama samawi

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini.

Bagaimanapun, tetap sahaja
ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa.

Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.

Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an,
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.

Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.

Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat
meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.

Beriman atau bertaqwa?


Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana,
orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)

Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan
menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)

Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.

Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.

Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka
nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya,
"Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah
insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.

Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan
bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum,
amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu
menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.

Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.

Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah.







Taqwim

Followers

About Me

My Photo
al-fikr
seorang hamba Allah yg dhoif yg memerlukan kasih-Nya...dilahirkan pd 24 Jan 1988...mendpt pendidikan di sek keb batu laut, sam unwanus saadah kanchong darat...kemudian belajar di universiti darul iman malaysia kampus kusza mengambil diploma pengajian islam al-quran & al-sunnah...kini menyambung sarjana muda fiqh & fatwa di universiti sains islam malaysia
View my complete profile

Total Pageviews

Powered by Blogger.

Santai


ShoutMix chat widget

Doa

Tuhan...

Saat aku mencintai seorang teman

Ingatkanlah aku bahwa akan ada sebuah akhir

Sehingga aku tetap bersama yang tak pernah berakhir

Tuhan...

Ketika aku merindukan seorang kekasih

Rindukanlah aku kepada rindu cinta sejati-Mu

Agar kerinduanku kepada-Mu semakin menjadi

Tuhan...

Jika aku hendak mencintai seseorang

Temukanlah aku dengan orang yang mencintai-Mu

Agar bertambah kuat cintaku pada-Mu

Tuhan...

Ketika aku sedang jatuh cinta

Jagalah cinta itu

Agar tidak melebihi cintaku kepada-Mu

Tuhan...

Ketika aku berucap aku cinta Pada-Mu

Biarlah kukatakan kepada yang hatinya tertaut kepada-Mu

Agar aku tak jatuh dalam cinta yang bukan kerana-Mu

Sebagaimana orang bijak berkata

Mencintai seseorang bukanlah apa-apa

Dicintai seseorang adalah sesuatu

Dicintai seseorang yang kau cintai sangatlah beerti